Friday, January 15, 2010

Rancangan Perniagaan



RANCANGAN PERNIAGAAN (RP)


Pengenalan


Selepas mengenal pasti dan memilih satu peluang perniagaan yang sesuai, usahawan perlu membuat perancangan yang teratur supaya perniagaan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sumber-sumber perniagaan dapat digunakan dengan lebih cekap. Selepas memilih satu peluang perniagaan, langkah seterusnya ialah menyediakan sebuah rancangan atau pelan perniagaan yang lengkap. Apakah yang dimaksudkan dengan rancangan perniagaan? Rancangan perniagaan adalah sebuah dokumen bertulis yang menerangkan perkara yang berkaitan dengan perniagaan yang hendak dilaksanakan. Dokumen tersebut mengandungi maklumat yang berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan serta perancangan terperinci mengenai aspek pemasaran, pengurusan, operasi dan rancangan kewangan perniagaan. Rancangan perniagaan sering juga dikenali sebagai kertas projek atau kertas kerja.



Kepentingan Rancangan Perniagaan



Salah satu kepentingan menyediakan rancangan perniagaan ialah untuk menilai sama ada peluang perniagaan yang ingin diterokai berdaya maju atau sebaliknya. Penilaian sesuatu peluang perniagaan perlu diasaskan kepada fakta dan maklumat terkini. Banyak perniagaan gagal selepas beberapa tahun dilaksanakan. Ini disebabkan oleh kegagalan pengusaha menyediakan rancangan perniagaan yang berkesan. Dalam apa jua bidang perniagaan yang ingin diceburi, penyediaan rancangan perniagaan yang lengkap merupakan langkah yang sangat penting. Seringkali dikatakan bahawa jika seseorang berhasrat untuk memulakan sebuah perniagaan tetapi gagal untuk membuat perancangan, sebenarnya dia merancang kegagalannya sendiri dalam perniagaan tersebut. Kepentingan menyediakan rancangan perniagaan secara bertulis atau dalam bentuk dokumen seringkali diabaikan oleh usahawan kecuali apabila diperlukan untuk memohon pembiayaan. Sebab itu dokumen ini sering dikaitkan dengan permohonan pinjaman daripada bank atau institusi kewangan. Keperluan menyediakan dokumen ini dilihat sebagai memenuhi syarat permohonan sahaja. Tanggapan ini menyebabkan kebanyakan usahawan sukar menilai kepentingan dan keperluan menyediakan sebuah rancangan perniagaan. Setelah permohonan mereka diluluskan (atau mungkin ditolak) dokumen tersebut tidak lagi dirujuk untuk melaksanakan projek yang dirancang. Besar kemungkinan ini berlaku kerana dokumen tersebut disediakan oleh pihak lain yang dibayar perkhidmatannya. Oleh yang demikian maklumat yang terkandung dalam rancangan perniagaan berkenaan tidak menggambarkan hasrat sebenar usahawan. Sebaliknya ia cenderung untuk mempengaruhi dan meyakinkan pihak penilai untuk meluluskan permohonan pinjaman atau pembiayaan. Rancangan perniagaan bukan sahaja penting untuk tujuan memohon pembiayaan kewangan tetapi dokumen ini juga disediakan untuk tujuan-tujuan berikut:


1. Rancangan perniagaan sebagai pelan atau “peta” yang diperlukan bagi mengendalikan aktiviti perniagaan. Dokumen ini membantu usahawan mengkaji semula atau mengubahsuai aktiviti dan halatuju yang telah ditetapkan semasa memulakan dan mengendalikan perniagaan.


2. Sebagai panduan untuk mengurangkan risiko kegagalan perniagaan dengan membuat nggaran dan perkiraan hasil dan kos yang terlibat dalam perniagaan yang dirancang. Oleh itu, usahawan akan mengkaji dan menilai sesebuah rancangan perniagaan (berasaskan maklumat terkini) sebelum membuat keputusan untuk memulakannya. Secara tidak langsung penyediaan rancangan perniagaan memerlukan usahawan mengumpul maklumat terkini dalam pasaran.


3. Rancangan perniagaan juga disediakan untuk mengira jumlah modal atau wang yang diperlukan bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan. Oleh itu, penyediaan dokumen ini dapat membantu usahawan mengenal pasti jumlah modal permulaan dan sumber pembiayaan yang diperlukan.


4. Penyediaan rancangan perniagaan membantu usahawan memahami dengan mendalam mengenai bidang perniagaan yang bakal diceburi. Usahawan perlu mengetahui setiap aspek pengurusan perniagaan seperti pemasaran, pentadbiran, operasi dan kewangan.